ROUND TABLE DISCUSSION (RTD) MEMBINA NARATIF PSIKOSPIRITUAL

Pada hari Sabtu, 8 Julai 2023, PKPM telah menganjurkan Program Perbincangan Meja Bulat atau Round Table Discussion (RTD) yang bertajuk “Membina Naratif Psikospiritual”.

Program ini bertujuan untuk merungkai maksud psikospiritual dari tiga sisi iaitu psikospiritual dalam psikologi, psikospiritual dalam kaunseling dan psikospiritual dalam psikiatri. Terdapat tiga pembentang dalam RTD ini iaitu Dr. Alizi bin Alias, bertugas sebagai Konsultan Psikologi Organisasi, Dr. Md. Noor bin Saper, Presiden Persatuan Kaunseling Syar’ie Malaysia, dan Prof. Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom, merupakan professor adjung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), serta Dr. Khairi bin Che Mat, sebagai moderator program, yang kini bertugas sebagai pensyarah di UniSZA.

Dr Alizi Alias selaku ahli panel yang pertama, mengupas topik berkaitan psikospiritual dalam psikologi. Menurut beliau, psikospiritual juga boleh dikenali sebagai Psikologi Islamik Saintifik (PIS), yang memberi imej kerohanian yang lebih berilmiah dan berasaskan bukti-bukti kajian saintifik. Berbeza dengan psikologi sekular yang mengkaji tentang kognitif (fikiran), tingkah laku dan emosi manusia secara saintifik, Psikospiritual atau Psikologi Islamik Saintifik mempunyai unsur tambahan iaitu pengajian aspek kerohanian atau spiritual. Malahan, alternatifnya, PIS mempunyai integrasi antara aspek spiritual dengan aspek-aspek yang lain, dan terbentuknya model Iman (kognitif-spiritual), Islam (tingkah laku-spiritual) dan Ihsan (emosi-spiritual).

Psikospiritual atau PIS berperanan untuk menjawab persoalan-persoalan tentang kejadian manusia secara Islamik-saintifik, yang sering menjadi perdebatan ahli psikologi sekular bermazhab psikodinamika, tingkah laku, humanis, kognitif, dan biologi. Selain itu, unsur spiritualiti juga mengambil kira aspek ketuhanan, kenabian, keakhiratan, dan juga aspek syariat, akhlak dan dakwah. Kerangka ini merupakan panduan untuk membina teori, membuat kajian, dan membuat tafsiran data Psikospiritual atau PIS.

Seterusnya, ahli panel kedua iaitu Dr. Md. Noor Saper, mengupas tentang psikospiritual dalam kaunseling. Didalam bidang kaunseling, pendekatan psikospiritual lebih dikenali sebagai Kaunseling Syar’ie. Sebelumnya, istilah psikospiritual dalam kaunseling diguna sebagai Kaunseling Islam tetapi kurang mendapat sambutan yang baik.

Definisi Kaunseling Syar’ie telah diberikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang bermaksud sesuatu proses pemberian bantuan dan bimbingan dari aspek fizikal, rohani dan spiritual oleh kaunselor syarie kepada klien yang normal dan sedang menghadapi masalah dalam hidupnya, dengan menggunakan pelbagai kaedah berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah. Proses ini bertujuan untuk membantu klien menyelesaikan masalah, memahami diri dan matlamat hidup ke arah mencapai keredhaan Allah SWT. Oleh itu, kaunselor syarie juga perlu merupakan individu yang mengamalkan prinsip-prinsip Islam dalam hidupnya. 

Menurut Dr. Md. Noor, kaunseling dan agama berkongsi fungsi yang serupa dalam perawatan. Agama dan spiritual perlu diambil kira dalam amalan kaunseling kerana ianya berperanan besar dalam kehidupan manusia dan dalam pencarian makna hidup. Intervensi yang menggabungkan kaedah kognitif dan tingkah laku dengan ajaran Islam telah menunjukkan perubahan yang positif. Malahan, American Psychological Association (APA) dan American Counseling Association telah mengiktiraf keperluan agama dalam perkhidmatan membantu.

Kaunseling Syar’ie berpandu pada Model Terapi Tazkiyah An-Nafs Al-Ghazali yang meggunakan 5 langkah dalam perkhidmatan iaitu Mengenali Diri (ma’rifah an-nafs), Pembersihan Qalbu (takhalli), Pengisian Qalbu (tahalli), Penilaian Diri (muhasabah) dan Kebahagiaan (saadah).

Panel ketiga, Professor Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom, menerangkan Psikospiritual dalam Psikiatri. Beliau menekankan aspek BioPsychoSosioSpiritual (Holistic Paradigm) yang merangkumi unsur Spiritual, Biologikal, Psikologikal dan Sosial. Beliau juga berpandangan perlu ada integrasi di antara aspek Ruh dan Jasad. Untuk aspek Ruh sendiri, mempunyai 4 unsur iaitu Jiwa (Self), Fuad (Qalbu Penggerak), Lub (Qalbu Pemikir) dan ‘Aql (Intelek). Manakala Jasad, terdiri daripada Jantung (Qalb), Dada (Sodr), Mata (‘Ain), Telinga (Uznun).

Sebagai rumusan, definisi dan konsep psikospiritual sangat perlu di dalami oleh semua yang terlibat dalam bidang psikologi. Disamping itu, terdapat keperluan untuk mengintegrasikan pendekatan psikospiritual amalan dan pendekatan-pendekatan terapi serta kaunseling yang sedia terpakai. Hal ini adalah kerana pembangunan aspek psikospiritual amat penting dalam kehidupan dan pembentukkan insaniah. Para psikologis, kaunselor dan psikiatris perlu berusaha untuk mengangkat unsur psikospiritual di dalam perkhidmatan masing-masing.

Tambahan, dalam meniti arus kemodenan ini, kita sudah mempunyai teknologi Artifical Intelligence (AI) seperti Chatgpt yang mampu memberi segala jawapan kepada permasalahan manusia, implikasinya seakan terapi yang sebenar, namun komponen atau aspek psikospiritual dan kerohanian tidak dapat disentuh dan hanya mampu di tawarkan oleh manusia atas dasar unsur keistimewaan yang tidak sewenangnya dapat di hasilkan oleh AI.

Mahu Menyumbang?

Adakah anda mendapat manfaat daripada penulisan di atas? Sekiranya ya, mohon dipertimbangkan untuk memberi sumbangan agar kami boleh teruskan aktiviti, penulisan, isi kandungan dan inisiatif yang boleh membantu menyumbang kepada kesejahteraan psikospiritual dani mental masyarakat.

Nyatakan Pandangan Anda