KELUARGA DIDIK CEGAH RASUAH

Oleh : Dr Fauziah Hanim Jalal

Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Kesejahteraan Psikospiritual Malaysia

Rasuah adalah amalan yang tidak beretika, tingkah laku keji, dan satu jenayah namun telah menjadi budaya di negara ini. Laporan Statistik Jenayah Malaysia 2020 bagi tahun ketiga memaparkan rasuah adalah enam statistik jenayah terpilih selain jenayah indeks, dadah, alam sekitar, jenayah maritim dan pemulihan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun lepas (2019) menunjukkan peningkatan sebanyak 23 peratus berbanding tahun 2018. Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, statistik menunjukkan peningkatan bagi kesalahan memberi rasuah meningkat 79 peratus dan diikuti tuntutan palsu sebanyak 35.8 peratus (Muhammad Amnan Hibrahim, 2020, 20 November)

Agensi kerajaan telah ditubuhkan bagi mencegah amalan rasuah di Malaysia seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Institut Integriti Malaysia (IIM). Namun statistik ini masih terus meningkat.

Persoalan untuk renungan dan tindakan bersama, mengapa masih ramai yang tidak merasa bersalah mengamalkan rasuah yang jelas perkara mungkar? Pernahkah kita fikirkan mengapa seorang ayah sebagai ketua keluarga sanggup menerima rasuah? Berapa ramai agaknya ahli keluarga kita yang terlibat dengan rasuah ini? Apakah kesan rasuah kepada intitusi keluarga?

Perasaan sedih, benci, malu, rendah diri boleh menyebabkan kemurungan pasti berlaku sekiranya perkara ini terjadi dalam keluarga kita. Justeru, setiap keluarga wajib mempunyai pengetahuan asas mengenai perkara ini dalam aspek definisi rasuah, punca dan kesannya.

Yusuf Qaradhawi (2011) telah menulis tentang rasuah sebagai salah satu perbuatan yang termasuk dalam kategori memakan harta orang lain secara batil (salah). Ini kerana rasuah ialah sejumlah wang dibayar kepada seorang penguasa, atau orang berpangkat tinggi supaya menjatuhkan hukuman bagi kepentingan orang yang memberi rasuah, ataupun menjatuhkan hukuman ke atas lawannya untuk memenuhi kemahuannya atau menyempurnakan sesuatu urusan yang dikejarnya atau melambatkan sesuatu urusan untuk kepentingan dirinya, atau apa jua manfaat yang bakal dituntut dari sebab membayar rasuah itu.

Dalam konteks perundangan Malaysia pula, rasuah ialah satu penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah, diskaun.

Dalam Akta 694 terdapat empat kesalahan rasuah yang utama iaitu meminta atau menerima rasuah, menerima suapan, mengemukakan tuntutan palsu dan salah guna kuasa.

Islam telah melarang amalan rasuah seperti dalam surah al-Baqarah Ayat 188 yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan cara yang tidak benar dan janganlah kamu membawa kes-kes harta itu kepada hakim-hakim dengan tujuan supaya kamu dapat memakan sebahagian dari harta orang lain dengan cara yang berdosa, sedangkan kamu mengetahui.”

Mereka yang melakukan amalan rasuah merupakan individu yang tidak berintegriti, tidak bermoral, menipu dan tidak amanah. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam memberi peringatan kepada umatnya bahawa hilangnya sifat amanah dalam masyarakat merupakan antara tanda-tanda kecil berlakunya hari kiamat.

Terdapat beberapa punca rasuah diantaranya ialah faktor psikologi kognitif dan tekanan:

a. Faktor psikologi kognitif

Dalam kajian mengenai rasuah, psikologi kognitif mendapati terdapat beberapa sebab mempengaruhi seseorang melakukan rasuah seperti berikut :

i. Kuasa – individu yang memegang kuasa lebih cenderung melakukan rasuah. Kuasa akan menyebabkan rasa yakin diri, tinggi penerimaan risiko, dan memfokuskan kepada ganjaran. Semakin tinggi jawatan seseorang itu, semakin mudah seseorang melakukan rasuah.

ii. Kepentingan diri – individu lebih cenderung bertindak melakukan rasuah ketika mereka berusaha untuk memperoleh keuntungan peribadi,

iii. Kawalan diri – mempunyai kawalan diri yang lebih rendah, merasakan bahawa rasuah hanya akan menyebabkan bahaya tidak langsung ( indirect harm), dan ketika mereka bekerja di organisasi di mana tingkah laku yang tidak beretika tidak dihukum.

iv. Mengelak kerugian dan menerima risiko – individu cenderung lebih mudah menerima risiko untuk mengimbangi kerugian, dan menghindari risiko untuk mengekalkan keuntungan. Ketidakpastian cenderung meningkatkan kemungkinan bertindak melakukan rasuah.

v. Rasionalisasi – Amalan rasuah menjadi normalisasi. Diri merasionalkan seperti sekiranya pihak atasannya boleh mengamalkan amalan rasuah, mengapa dia tidak boleh melakukan perbuatan yang sama.

vi. Kemampuan – walaupun mempunyai peluang tetapi tiada ilmu dan kepakaran untuk melakukan perbuatan rasuah, maka itu tidak akan terjadi.

vii. Emosi – tiada perasaan bersalah boleh menyebabkan individu berkelakuan buruk.

b. Faktor Tekanan

Seseorang akan mengalami tekanan dalam hidup dan memilih jalan keluar yang salah. Berikut adalah sebab tekanan yang dikaitkan dengan rasuah:

i. Mempunyai hutang yang banyak,

ii. Terlibat dalam berjudi.

iii. Mempunyai beban kerja yang tidak setimpal dengan gaji.

iv. Menghadapi persaingan dalam perniagaan sehingga sanggup memberi rasuah kepada penqawai kerajaan agar meluluskan projek.

v. Mengamalkan gaya hidup melebihi kemampuan. Merasa tamak untuk mempunyai kekayaan dan kemewahan.

Mendapatkan rezeki yang halal adalah kewajipan bagi setiap mukmin. Jika seseorang mendapat pendapatan daripada sumber halal, diyakini keimanan serta ketakwaannya akan bertambah kukuh dan mantap. Namun sebaliknya, jika seseorang itu mendapatkan rezeki daripada sumber yang haram, imannya akan lemah dan terhakis daripada hatinya. Maka menjadi tanggungjawab kepada setiap keluarga untuk memastikan rezeki yang dibawa pulang itu didapati melalui sumber yang bersih daripada perkara syubhat dan haram.

Ayah sebagai ketua keluarga perlu menerangkan dan berbincang tentang pandangan Islam tentang rasuah. Kita tidak mahu ahli keluarga terlibat dengan risiko amalan rasuah yang jelas mungkar dan keji. Rezeki yang haram daripada rasuah ini akan menjadi darah daging dalam keluarga. Tidak mustahil jika perkara ini tidak dibendung daripada awal, anak-anak remaja juga akan terlibat mengamalkan rasuah, Amalkan budaya menasihati dan mendorong kearah kebaikan serta mencegah melakukan kemungkaran.

Kita perlu kembali kepada hakiki kehidupan sebenar untuk mencari keberkatan dan keredhaan Allah. Apalah kiranya harta yang banyak tetapi diperolehi daripada sumber yang haram yang bukan milik kita lebih-lebih lagi sumbernya adalah hak milik awam. Ayuh bersama membina generasi bermaruah dan berintergriti bermula daripada keluarga!

#tipkesejahteraanpsikospiritual

#kitatolakrasuah

#RasuahBusters

#MakKataJangan

#NilaiMoralKarakterBangsa

Rujukan

Shofian Ahmad (2008) Jenayah Rasuah : Bentuk dan Hukum Menurut Islam, dalam Al-Syariah Jilid 4 – Fiqh Jenayah, Siti Zalikhah Md. Nor et.al. (eds.) Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 63.

Yusuf Qaradhawi (2011) Halal dan Haram dalan Islam (penterjemah : Zulkifli Mohamad Al-Bakri) Selangor : Darul Syakir, 545.

Muhammad Amnan Hibrahim (2020, November20). Tangkapan kes rasuah meningkat 23 peratus tahun lepas. Sinarharian. https://www.siSnarharian.com.my/…/Tangkapan-kes-rasuah…

https://www.sprm.gov.my/index.php?id=21&page_id=75…

https://www.u4.no/…/the-cognitive-psychology-of-corruption

Mahu Menyumbang?

Adakah anda mendapat manfaat daripada penulisan di atas? Sekiranya ya, mohon dipertimbangkan untuk memberi sumbangan agar kami boleh teruskan aktiviti, penulisan, isi kandungan dan inisiatif yang boleh membantu menyumbang kepada kesejahteraan psikospiritual dani mental masyarakat.

Nyatakan Pandangan Anda